PERANGKAAN PELAJAR

MRSM Pengkalan Chepa mempunyai dua kumpulan pelajar iaitu pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. MRSM PC mampu menampung kapasiti pelajar di antara lingkungan 600 sehingga 700 orang pelajar. Untuk setiap tahun, pengambilan pelajar baru adalah lebih kurang 300 orang pelajar.



Untuk setiap tingkatan, terdapat di antara 12 - 15 kelas, bergantung terhadap pengambilan pelajar pada tahun tersebut. Setiap kelas boleh memuatkan 25 orang pelajar. Tempoh pengajian di MRSM PC ialah selama dua tahun ataupun empat semester. Selepas peperiksaan SPM, para pelajar akan diraikan dalam Majlis Graduasi untuk menandakan kejayaan melahirkan anak-anak MARA yang mampu menerajui tonggak negara pada masa hadapan.


PENGAMBILAN PELAJAR

MRSM Pengkalan Chepa merupakan salah satu daripada empat maktab Program Khas Pendidikan (PKP) di Malaysia, selain MRSM Langkawi, MRSM Taiping dan MRSM Jasin. Kaedah pengambilan pelajar adalah sama dengan kaedah pengambilan pelajar bagi MRSM lain, namun begitu terdapat penekanan terhadap beberapa kriteria penting. Berikut ialah syarat kelayakan untuk memasuki salah satu daripada MRSM Bitara :-


  • Mendapat sekurang-kurangnya 8A dalam Peperiksaan Menengah Rendah.
  • Lulus ujian kecenderungan yang diadakan bagi calon-calon MRSM selepas PMR di pusat-pusat tertentu
  • Aktif dalam bidang ko-kurikulum.

MRSM Pengkalan Chepa hanya mengambil pelajar-pelajar baru untuk Tingkatan 4 sahaja pada setiap tahun. Pengambilan pelajar baru biasanya dilakukan pada bulan Februari. Permohonan untuk memasuki MRSM selalunya dibuka oleh Bahagian Pendidikan Menengah MARA kepada calon-calon selepas pertengahan tahun. Calon-calon boleh mendapatkan borang permohonan di mana-mana Pejabat MARA Negeri.